ANKARA: Seorang lelaki bertopeng yang memakai jaket kalis peluru dan topi keledar menikam secara rambang lima orang dalam kejadian di barat laut Turkiye pada Isnin, lapor Xinhua.

Lelaki berusia 18 tahun yang dikenali sebagai Arda K telah ditahan selepas insiden yang berlaku di Eskisehir, kira-kira 230 kilometer di barat ibu negara Ankara, menurut penyiar TRT.

Mangsa diserang ketika sedang duduk di sebuah kafe di hadapan sebuah masjid dan suspek menyiarkan secara langsung kejadian itu di akaun media sosialnya, lapor akhbar Daily Sabah.

Kelima-lima mangsa telah dimasukkan ke hospital dengan dua daripadanya berada dalam keadaan kritikal, menurut laporan itu.

Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya berkata polis tempatan telah memulakan siasatan berhubung serangan itu.

Sementara itu, Menteri Keluarga dan Perkhidmatan Sosial Mahinur Ozdemir Goktas berkata punca kejadian itu adalah ketagihan permainan video, dan penyerang berada di bawah pengaruh permainan video perang.

"Saya berharap agar semua mangsa yang cedera dalam kejadian kejam ini cepat sembuh, yang jelas menunjukkan kesan negatif permainan digital terhadap kesihatan anak-anak dan remaja kita," tambahnya.

-- BERNAMA