JAKARTA: Pemimpin tertinggi Gereja Katolik sedunia, Paus Francis, menghadiri pertemuan dengan wakil kariah Masjid Istiqlal, Jakarta pada Khamis dalam rangka lawatannya ke negara itu selama empat hari bermula 3 September.

Momen tular itu sempat dirakamkan semasa meninggalkan Masjid Istiqlal apabila Imam Besar Masjid Istiqlal Nasaruddin Umar mencium kepala Paus Francis sambil berjabat tangannya dan Paus dilihat membalas dengan mengucup tangan Imam Besar.

Kedua-duanya saling menunjukkan rasa hormat dan keharmonian dua agama.

Paus Francis bertemu Nasaruddin dalam satu acara dialog bersama tokoh-tokoh agama sempena kunjungannya ke negara berkenaan.

Dalam lawatannya, Paus Francis turut bertemu presiden Indonesia Joko Widodo, tokoh masyarakat, tokoh pelajar dan menghadiri Misa Agung di Gelora Bung Karno, Jakarta, pada Khamis.


Ini merupakan kunjungan ketiga Paus ke Indonesia selepas kunjungan Paus Paul VI pada 1970 dan Paus John Paul II pada 1989.