ISTANBUL: Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memilih Jay Bhattacharya, seorang pengkritik perintah berkurung pandemik, untuk menerajui Institut Kesihatan Nasional (NIH), agensi penyelidikan perubatan terkemuka negara itu.

"Dr Bhattacharya akan bekerjasama dengan Robert F. Kennedy Jr. untuk mengarahkan Penyelidikan Perubatan Negara serta membuat penemuan penting yang akan meningkatkan kesihatan dan menyelamatkan nyawa," kata Trump dalam satu kenyataan lewat Selasa, menurut Agensi Anadolu.

Bhattacharya, 56, seorang pakar perubatan dan ahli ekonomi daripada Universiti Stanford, sebelum ini menentang sekatan pergerakan dan mandat vaksin semasa pandemik COVID-19, dasar yang diiktiraf oleh pakar kesihatan awam sebagai menyelamatkan berjuta-juta nyawa.

Dalam hantaran di X, Bhattacharya menyatakan bahawa beliau "berbesar hati" atas pencalonan Trump untuk menjadi pengarah NIH yang seterusnya.

"Kami akan mereformasi institusi sains Amerika supaya layak untuk dipercayai semula dan akan menggunakan hasil sains yang cemerlang untuk menjadikan Amerika sihat kembali!" tambahnya.

Pencalonan itu melengkapkan pasukan kesihatan awam Trump menjelang pelantikannya pada 20 Jan.

Awal bulan ini, Trump melantik bekas pesaingnya, Robert Kennedy Jr., untuk mengetuai Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS.

Pandangan Kennedy yang mempersoalkan keberkesanan dan keselamatan vaksin serta pandangan sampingan lain menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti perubatan.

-- BERNAMA