GENEVA: Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thanipada Rabu menyatakan bahawa Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mahu gencatan senjata di Gaza dilaksanakan sebelum majlis pelantikannya pada 20 Januari, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam satu temu bual dengan Sky News, Sheikh Mohammed mengesahkan bahawa Trump telah menyatakan dengan jelas hasratnya untuk melihat konflik di wilayah Palestin itu diselesaikan sebelum beliau mengangkat sumpah.

"Ya, beliau menyatakannya dengan jelas," kata Sheikh Mohammed.

"Kami telah mendengar perkara ini daripada pasukannya, sekurang-kurangnya berdasarkan perbualan yang saya terlibat bahawa mereka mahu perkara ini diselesaikan sekarang - hari ini juga," tambahnya.

Sebagai tokoh utama dalam rundingan itu, Perdana Menteri Qatar berkata beliau memilih untuk tidak berkongsi banyak butiran bagi "melindungi proses ini sebaik mungkin."

"Kami cuba yang terbaik. Kami telah melakukan yang terbaik," katanya.

"Kami semua bersetuju, dan kami berharap dapat mengatasi situasi ini sebelum Presiden (Trump) memulakan tugas, kerana kami mempunyai keutamaan untuk menstabilkan keadaan. Kami mempunyai keutamaan untuk memulihkan keselamatan serantau," tambahnya.

Usaha pengantaraan yang diketuai Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar untuk mencapai perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tawanan antara Israel dan Hamas gagal susulan keengganan Netanyahu menghentikan perang.

Serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023 membunuh lebih 44,530 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dengan lebih 105,500 individu mengalami kecederaan.

-- BERNAMA