Calon Republikan itu dalam kemas kini di akaun Truthnya menambah, "gerakan" dari Iran itu tidak berjaya setakat ini tetapi mendakwa mereka akan melakukan cubaan lagi.
Dakwa Trump lagi, anggota tentera AS sedang 'memerhati dan menunggu' perkembangan ancaman berkenaan.
"Ini bukan keadaan yang baik untuk sesiapa. Saya dikelilingi oleh lebih ramai anggota (keselamatan), senjata dan 'alat berbahaya' daripada apa yang pernah saya lihat sebelum ini.
"Terima kasih kepada Kongres kerana sebulat suara meluluskan lebih banyak wang untuk Perkhidmatan Rahsia - tiada undi 'TIDAK', secara tegas bipartisan," katanya dalam kemas kini tersebut hari ini.
Jelas Trump, "serangan terhadap bekas Presiden adalah satu angan-angan kematian buat penyerang".
Sementara itu, kempen Trump memaklumkan beliau telah diberikan taklimat oleh pegawai perisikan AS mengenai ancaman bunuh yang didakwa dari Iran.
Reuters melaporkan, kempen itu menyatakan bahawa pegawai perisikan telah mengenal pasti ancaman daripada Iran telah "meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini" dan pegawai kerajaan AS sedang berusaha melindungi Trump dan memastikan pilihan raya tidak terjejas.
Iran sebelum ini telah menafikan dakwaan AS mengenai campur tangan dalam urusan negara itu.