SOLINGEN, JERMAN: Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan empat yang lain cedera parah selepas ditikam ketika berlangsung festival keraian pada Jumaat malam di bandar Solingen, barat Jerman.

Menurut laporan media antarabangsa, polis mengesahkan seorang lelaki bersenjata pisau menikam secara rambang orang ramai yang lalu lalang di festival berkenaan.

Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku sekitar jam 9.45 malam waktu tempatan ketika bandar tersebut meraikan ulang tahunnya yang ke 650.

Festival itu dirancang berlangsung sehingga Ahad ini.

Datuk Bandar Tim Kurzbach dalam catatannya di akaun media sosial berkongsi kedukaan dengan insiden itu dan memberi penghormatan kepada mereka yang terbunuh.

“Petang ini kami semua berada di Solingen dalam keadaan terkejut, seram dan sangat sedih.

"Sesuatu yang merobok hati saya bahawa terdapat serangan ke atas bandar kami. Saya turut menangis memikirkan mereka yang telah kita hilang. Doa saya mengiringi mereka yang masih berjuang untuk hidup," tulis beliau.

Dalam hanaran itu, Kurzbach turut memberitahu, serangan itu berlaku di dataran ketika sebuah kumpulan muzik sedang menghiburkan orang ramai.

Tikaman dan tembakan maut di Jerman agak jarang berlaku.

Pada Jun lalu, seorang anggota polis berusia 29 tahun meninggal dunia selepas ditikam di Mannheim semasa serangan ke atas demonstrasi sayap kanan.

Manakala, pada 2021 pula, berlaku serangan ke atas kereta api yang mencederakan beberapa orang.

Kerajaan Jerman telah menyasarkan untuk memperketatkan peraturan mengenai pisau yang boleh dibawa di khalayak ramai dengan mengurangkan panjang yang dibenarkan daripada 12 sentimeter kepada 6 sentimeter. - Agensi