WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata beliau tidak membincangkan mengenai latihan nuklear bersama Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol, lapor Sputnik, memetik kenyataan White House.

Yoon dalam temu bual dengan akhbar The Chosun Ilbo sebelum ini berkata Seoul sedang berunding dengan Washington untuk bersama-sama merancang dan menjalankan latihan dengan penyertaan pasukan nuklear AS untuk menentang ancaman nuklear Korea Utara.

"Tidak," kata Biden apabila ditanya sama ada beliau ada membincangkan latihan nuklear bersama Korea Selatan.

Susulan kenyataan Biden itu, pejabat presiden Korea Selatan menjelaskan maksud sebenar yang tersirat mengenai kerjasama nuklear antara kedua-dua negara.

Latihan nuklear bersama ialah istilah yang digunakan antara kuasa nuklear. (Oleh itu, apabila wartawan bertanya kepada Biden) jika latihan nuklear bersama sedang dibincangkan, (beliau perlu berkata) tidak," menurut Yonhap yang memetik kenyataan setiausaha presiden kanan Korea Selatan bagi hal ehwal akhbar Kim Eun-hye.

Menurut Kim, kedua-dua negara sedang berbincang secara tetap mengenai perkongsian maklumat berkaitan di lapangan dan mengenai perancangan serta pelaksanaan operasi nuklear AS.

Situasi di Semenanjung Korea menjadi lebih tegang apabila pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengarahkan pembangunan sistem peluru berpandu balistik baharu antara benua minggu lepas untuk melakukan serangan balas nuklear pantas.

Beliau juga berkata AS, dengan alasan untuk mengukuhkan kerjasama dengan Korea Selatan dan Jepun, sedang mewujudkan "versi NATO Asia."

Sebagai tindak balas, Seoul berkata langkah yang diumumkan Pyongyang itu "tidak masuk akal" dan hanya akan memburukkan lagi keadaan.

-- BERNAMA