BANGKOK: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Lloyd Austin mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha dan berkongsi perspektif mengenai isu keselamatan serantau selain membincangkan peluang untuk mengukuhkan pakatan AS-Thailand.

Menurut kenyataan Jabatan Pertahanan AS, Austin telah menekankan mengenai persahabatan AS yang sudah lama terjalin dengan Thailand dan mengulangi hasrat AS untuk mengukuhkan saling kendali antara tentera AS dan Thailand serta menyokong keperluan pemodenan Thailand.

Austin dan Prayuth juga menyambut baik usaha untuk memperluas latihan dua hala, termasuk melalui penubuhan kumpulan kerja baharu mengenai akses dan latihan timbal balik.

Sempena lawatan Austin ke Thailand pada Isnin, setiausaha pertahanan itu turut bertemu kakitangan pertahanan AS yang bekerja di Thailand.

Menurut kenyataan itu kedua-dua pemimpin turut menekankan keutamaan untuk bekerjasama dalam bidang teknikal baharu termasuk siber dan ruang angkasa.

"Kedua-dua pihak mengalu-alukan untuk menggabungkan kerjasama angkasa lepas dan siber ke dalam latihan dua hala seperti Cobra Gold dan bersetuju untuk terus bekerjasama dalam pembinaan kapasiti siber.

"Kedua-duanya juga membincangkan kepentingan Thailand dalam meningkatkan kerjasama industri pertahanan. Mereka menyambut baik keputusan perjanjian teknologi pertahanan dua hala baharu baru-baru ini dan bersetuju untuk membangunkan rancangan untuk kerjasama masa depan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya pada pertemuan itu, Austin berkata AS dan Thailand akan terus memperkukuh saling kendali menerusi sesi latihan bersama merentasi pelbagai aspek daripada keselamatan maritim kepada pencegahan perubatan ketenteraan.

"Saya tidak sabar untuk berkongsi perspektif kami mengenai isu-isu serantau termasuk ketegangan yang semakin meningkat di Laut China Selatan," katanya.

Beliau turut menekankan komitmen AS untuk meningkatkan jumlah pelajar Thailand yang menerima pendidikan ketenteraan profesional di AS.

-- BERNAMA