Moscow sebelum ini menegaskan bahawa semua penerbangan pesawat Angkatan Aeroangkasa Rusia dilakukan dengan mematuhi peraturan ruang udara antarabangsa.
"HMS Iron Duke dan HMS Tyne mengawasi empat kapal Rusia di perairan UK dan jet RAF memintas pesawat Russian Bear yang menghampiri kawasan kepentingan UK," menurut kementerian itu.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa dua pesawat Typhoon RAF dikerah, disokong oleh sebuah Voyager untuk memintas dua pesawat Bear-F Rusia yang beroperasi berhampiran kawasan negara itu.
"Jet RAF dikerah di bawah arahan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami untuk memantau pesawat ketika mereka melalui ruang udara antarabangsa.
"Jet pejuang Typhoon kami mengiringi pesawat itu keluar dari Wilayah Maklumat Penerbangan UK dan pesawat Rusia tidak memasuki ruang udara UK," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa dalam operasi enam hari bersama sekutu NATO, kapal frigat HMS Iron Duke yang berpangkalan di Portsmouth mengawasi kapal selam kelas Kilo Rusia, Novorossiysk dan kapal tunda sokongannya, Evgeny Churov melalui Selat Dover menuju ke Atlantik.
-- BERNAMA