Pemimpin berusia 73 tahun itu menegaskan, republik itu yang memiliki lebih 200 juta penduduk dianugerahkan oleh kekayaan sumber alam yang sangat besar dan ia harus dimanfaatkan untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Saya mengajak semua, mari kita berani melihat kenyataan, kita boleh bangga dengan prestasi kita tetapi jangan terpegun dan cepat puas... jangan cepat gembira dan menutup mata terhadap cabaran serta penderitaan saudara-saudara kita.
"Kita tak boleh memiliki sikap seperti burung unta, yang memasukkan kepalanya dalam tanah. Mari menatap ancaman dengan gagah... mari kita hadapi kesulitan dengan berani.
"Saudara sekalian, mari kita berhimpun dan bersatu mencari penyelesaian dan jalan keluar daripada ancaman bahaya tersebut," katanya ketika menyampai pidato tersebut di bangunan Nusantara, Kompleks Parlimen di Jakarta pada Sabtu.
Berucap lanjut di hadapan 20 ketua negara asing yang hadir pada majlis angkat sumpah pelantikan Presiden dan Naib Presiden Indonesia, Prabowo menambah semua pihak perlu berani untuk membaiki diri dan negara.
Bekas Jeneral itu juga berkata, Indonesia perlu menerima kenyataan bahawa masih banyak penyelewengan dan rasuah berlaku dalam negara dan aktiviti menyalahi undang-undang itu perlu ditentang demi masa depan bangsa.
"Kita harus berani mengakui terlalu banyak kebocoran daripada anggaran kita, penyimpangan kolusi (keterlibatan) antara pejabat politik dan pemerintah, di semua tingkatan... dengan penguasaha yang nakal dan tidak patriotik.
"Jangan takut untuk melihat realiti ini. Kita masih melihat sebahagian saudara kita yang belum menikmati hasil kemerdekaan, dan terlalu banyak saudara kita yang berada di bawah garis kemiskinan," ujar beliau.
Selari dengan itu, Prabowo menyatakan komitmennya untuk membasmi kemiskinan walaupun usaha tersebut dilihat oleh segelintir pihak sebagai mustahil.
Media sebelum ini melaporkan kadar kemiskinan Indonesia jatuh daripada 11.25 peratus pada 2014 kepada 9.03 peratus pada pada tahun ini, manakala kemiskinan tegar menurun daripada 6.18 peratus kepada 0.83 peratus.
Terdahulu, Prabowo selesai mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia yang kelapan bagi penggal 2024 hingga 2029, menggantikan Joko Widodo (Jokowi).
Turut mengangkat sumpah ialah Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden Indonesia bagi tempoh yang sama, menggantikan Ma’aruf Amin.