MUMBAI: Tokoh konglomerat India, Ratan Tata yang meninggal dunia pada usia 86 tahun pada Rabu diberikan pengebumian negara oleh kerajaan India.

Pemimpin perniagaan, ahli politik dan selebriti adalah antara ribuan orang yang memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.

Negeri Maharashtra mengisytiharkan hari berkabung dan kerandanya diberi penghormatan tentera semasa diusung ke upacara pengebumian.

Mendiang mengambil alih sebagai Pengerusi Kumpulan Tata pada 1991 yang akhirnya mengubahnya menjadi kuasa global.

Ribuan orang hadir ke Pusat Seni Persembahan Kebangsaan di Mumbai, tempat mayat mendiang Tata dibawa pada waktu pagi, untuk memberi penghormatan.

Kerandanya dibalut dengan bendera India dan ditutup dengan kalungan bunga putih.

Rakan taikun perniagaan Mukesh Ambani; Menteri Dalam Negeri, Amit Shah dan bintang Bollywood, Aamir Khan merupakan antara yang hadir untuk mengucapkan selamat tinggal.

Turut hadir ialah anjing peliharaan dan kesayangan Tata yang bernama Goa, diiringi dua pekerja mendiang.

Anjing itu diselamatkan dari negeri Goa, iaitu nama yang diberikan kepada binatang itu.

Mendiang Tata masyhur sebagai seorang yang sederhana dan rendah diri selain terkenal dengan kerja-kerja amalnya termasuk kebajikan haiwan, kesihatan dan pendidikan.

Kematian Tata diumumkan pada Rabu malam.

Sebelum itu, mendiang dilaporkan menerima rawatan di sebuah hospital.

"Legasi beliau akan terus memberi inspirasi kepada kami sambil kami berusaha untuk menegakkan prinsip yang beliau perjuangkan dengan begitu bersemangat," kata Kumpulan Tata dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Kumpulan Tata ialah salah satu syarikat terbesar di India, dengan pendapatan tahunan melebihi AS$100 bilion (RM430 bilion) dan beliau merupakan seorang pemimpin perniagaan India yang paling diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Ditubuhkan 155 tahun yang lalu, kumpulan itu merangkumi empayar perniagaan daripada Jaguar Land Rover dan Tata Steel kepada penerbangan.

Sepanjang tempoh 20 tahun sebagai Pengerusi, konglomerat itu membuat beberapa pengambilalihan berprofil tinggi termasuk pengambilalihan pembuat keluli Inggeris-Belanda Corus, jenama kereta Jaguar dan Land Rover yang berpangkalan di United Kingdom dan Tetley, syarikat teh kedua terbesar di dunia.

Beberapa keputusan itu membuahkan hasil, manakala yang lain - termasuk usaha telekomunikasi dan kereta termurah di dunia, Nano gagal.

Tata dilahirkan dalam sebuah keluarga tradisional Parsi pada 1937.

Beliau melanjutkan pengajian seni bina dan kejuruteraan struktur di Universiti Cornell, Amerika Syarikat.
Pada 1962, beliau menyertai Tata Industries - syarikat promoter kumpulan itu - sebagai pembantu dan menghabiskan enam bulan latihan di sebuah kilang syarikat di Jamshedpur.

Dari situ, beliau bekerja di Syarikat Besi dan Keluli Tata (kini Tata Steel), Perkhidmatan Perundingan Tata (TCS) dan Radio dan Elektronik Nasional (Nelco).

Pada 1991, JRD Tata, yang telah mengetuai kumpulan itu selama lebih setengah abad, melantik Ratan Tata sebagai penggantinya.

"Beliau [JRD Tata] adalah mentor terhebat saya... dia seperti bapa dan abang kepada saya - dan tidak cukup diperkatakan tentang itu," kata Tata dalam satu wawancara.

Pada 2008, kerajaan India menganugerahkannya Padma Vibhushan iaitu penghormatan awam kedua tertinggi di negara itu.

Perdana Menteri India, Narendra Modi memuji Tata sebagai "pemimpin perniagaan yang berwawasan, berjiwa penyayang dan manusia yang luar biasa."

Dalam hantaran di X, Modi memberi penghormatan kepada Tata dengan mengimbas kembali pengalaman berkongsi "banyak interaksi " dengan mendiang selain "sangat bersedih" dengan kematiannya. - Agensi