Menurut Agensi Anadolu (AA), keputusan itu dibuat selepas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, di Tehran pada Rabu.
Tindak balas Iran yang dijangka terhadap Israel telah meningkatkan risiko keselamatan dan memberi kesan kepada operasi syarikat penerbangan.
United Airlines, yang mengendalikan 14 penerbangan seminggu antara New York dan Israel, telah menggantungkan penerbangan ke Israel sehingga 6 Ogos.
Delta Airlines AS juga menggantungkan penerbangan ke Israel manakala British Airways membatalkan penerbangannya ke Tel Aviv pada Rabu.
Swiss International Air Lines menggantungkan penerbangan antara Zurich dan Tel Aviv sehingga sekurang-kurangnya 8 Ogos, memetik keselamatan kru dan penumpang. Selain itu, penggantungan penerbangan Zurich-Beirut, yang pada awalnya dijadualkan tamat pada 29 Julai, telah dilanjutkan hingga 12 Ogos.
Syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa, mengumumkan ia telah menggantungkan penerbangan ke Beirut dan Tel Aviv masing-masing sehingga 8 Ogos dan 12 Ogos, atas sebab-sebab keselamatan.
Syarikat penerbangan itu berkata ia akan memantau keadaan di lapangan untuk menentukan bila penerbangan boleh disambung semula.
Air India juga membatalkan penerbangannya ke Tel Aviv sehingga 8 Ogos, memetik kebimbangan keselamatan.
ITA Airways, syarikat penerbangan Itali mengumumkan bahawa penerbangan dari dan ke Tel Aviv digantung sehingga 6 Ogos "disebabkan perkembangan geopolitik di Timur Tengah dan untuk memastikan keselamatan penumpang dan krunya."
Syarikat penerbangan kebangsaan Poland, LOT membatalkan lapan penerbangan ke Lubnan dan Israel yang dijadualkan pada 3 dan 4 Ogos, menurut agensi berita Poland PAP.
Syarikat penerbangan Belanda, KLM, juga membatalkan semua penerbangannya dari dan ke Israel sehingga 26 Oktober.
Aegean Airlines dan Condor Airlines turut menggantung penerbangan dari Athens ke Beirut sehingga 1 Ogos disebabkan ketegangan serantau.
Singapore Airlines (SIA) berkata ia akan mengelak ruang udara Iran disebabkan ketegangan yang meningkat di Timur Tengah.
Penggantungan ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang meningkat dan kemungkinan konflik yang lebih luas antara Iran dan Kumpulan Hizbullah Lubnan di satu pihak dengan Israel di pihak yang lain.
-- BERNAMA