Melalui jambatan arboreal itu, primat dapat bergerak bebas ke kawasan lain, mencari makanan dan membiak tanpa gangguan aktiviti manusia, kata Syaiful Anwar, penyelia sokongan tapak alam sekitar syarikat itu, dalam satu kenyataan semalam.
"Jambatan arboreal memberi fleksibiliti kepada primat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran sambil mengurangkan risiko konflik manusia-haiwan," katanya.
Inovasi ini adalah hasil penyelidikan bertajuk Arboreal Bridges for Sustainable Human-Primates Coexistence within Ecologies Adaptation at Martabe Gold Mine, yang dibentangkan pada Simposium Primat Asia kesembilan di Universiti Sumatera Utara, dari 23 hingga 27 November lepas.
Antara 2023 hingga 2024, enam spesies haiwan telah diperhatikan menggunakan jambatan arboreal ini, termasuk lotong hitam Sumatera (Presbytis sumatrana), kera ekor pendek (Macaca nemestrina), kera ekor panjang (Macaca fascicularis), lotong kelabu (Trachypithecus cristatus), tupai hitam gergasi (Ratufa bicolor), dan musang pokok bertaring kecil Jawa (Arctogalidia trivirgata).
Pengurus Alam Sekitar Agincourt Resources Mahmud Subagya berkata bahawa penyelidikan dan inovasi ini membuktikan komitmen syarikat terhadap pemeliharaan biodiversiti Sumatera sambil memastikan amalan perlombongan yang lestari.
Projek itu bukan sahaja memberi manfaat kepada hidupan liar tetapi juga kepada masyarakat sekitar dan generasi akan datang, katanya.
Syarikat itu juga secara berkala menjalankan pemulihan dan penanaman semula kawasan bekas lombong di Batang Toru, Tapanuli Selatan, Sumatera Utara.
Selain itu, Agincourt Resources telah melakukan tinjauan biodiversiti flora dan fauna di kawasan hutan sekitar tapak perlombongan; memperkayakan tumbuhan tempatan dan sumber makanan primat di beberapa kawasan pemuliharaan, merancang pembinaan stesen penyelidikan, serta membangunkan makmal mycologi, biodiversiti, dan mikrobiologi.
-- BERNAMA