TOKYO: Suhu tinggi diramal di seluruh Jepun pada Khamis, dengan amaran strok haba dikeluarkan untuk kesemua atau sebahagian daripada 35 wilayah, daripada keseluruhan 47 wilayah, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA), lapor Xinhua.

Agensi cuaca berkata sistem tekanan tinggi yang dominan memacu suhu dari barat ke utara Jepun dan suhu dijangka meningkat lebih tinggi pada sebelah petang.

Bandar Koshigaya di wilayah Saitama mencatatkan suhu 37.5 darjah Celsius sebelum tengah hari, manakala pusat Tokyo mencatatkan 35.6 darjah Celsius.

Suhu tertinggi pada 39 darjah Celcius diramalkan di Kyoto pada waktu siang dan 38 darjah Celcius di bandar lain seperti Osaka, Nagoya dan Saitama.

Pegawai cuaca memberi amaran bahawa panas terik dijangka berterusan hingga minggu depan.

-- BERNAMA