SYARIKAT aeroangkasa SpaceX milik Elon Musk merancang untuk menghantar kru ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan kerjasama sebuah syarikat pemula yang berpangkalan di California. Amerika Syarikat (AS).

Misi itu bagaimanapun bergantung kepada kelulusan NASA dan ia membabitkan firma Vast, yang turut merancang untuk melancarkan stesen angkasa komersial pertama di dunia seawal 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Vast, Max Haot dalam satu kenyataan berkata, mencapai misi muatan serta kru ke ISS adalah bahagian penting dalam strategi Vast dan ia membolehkan pihaknya memperkukuhkan kerjasama dengan NASA dan agensi angkasa global.

SpaceX sebelum ini sudah melaksanakan tiga misi swasta ke makmal orbit dengan Axiom Space dan sedang bersiap untuk misi keempat.

Mereka juga bekerjasama dengan Polaris, sebuah projek yang diterajui oleh jutawan Jared Isaacman, untuk dua perjalanan orbit, yang salah satu daripadanya membabitkan aktiviti pertama berjalan di angkasa oleh angkasawan bukan profesional.

Isaacman dicalonkan oleh Presiden Terpilih AS Donald Trump, sebagai pentadbir NASA yang seterusnya dan ia dilihat sebagai peningkatan era kerjasama awam-swasta yang semakin berkembang dalam penjelajahan angkasa.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi SpaceX, Gwynne Shotwell akui teruja untuk bekerjasama dengan Vast ketika mereka membangunkan lebih banyak peluang dan destinasi untuk lebih ramai orang meneroka bintang-bintang.

Misi seumpamanya dilihat sebagai inisiatif bagi memenuhi keperluan individu kaya dan kerajaan negara maju.

Misi terakhir Zxiom membabitkan angkasawan dari Itali, Sweden dan Turkiye.

Vast, yang ditubuhkan pada 2021, menyatakan mereka sedang giat berbincang dengan beberapa kerajaan, termasuk Republik Czech, mengenai misi angkasa pada masa depan.

Pesaing lain untuk stesen angkasa komersial pertama termasuk Axiom Space, Voyager Space dengan kerjasama Airbus dan Blue Origin dengan kerjasama Sierra Space.