JIKA di Malaysia, nama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat sebagai 'warna' segar dalam politik negara apabila dilantik sebagai menteri pada usia muda iaitu 26 tahun, rakyat Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga berbangga dengan Menteri Hal Ehwal Belia mereka.

Shamma Suhail Faris Al Mazrui baru berusia 22 tahun apabila dilantik mengisi portfolio itu pada tahun 2016.

Pelantikannya itu memecah rekod dunia dan diiktiraf Guiness World Record pada tahun 2018 sebagai menteri termuda dalam dunia.

Graduan universiti Oxford itu juga merupakan rakyat UAE pertama yang ditawarkan biasiswa Rhodes dan mempunyai sarjana dalam bidang pembuatan polisi.
Beliau dilantik Perdana Menteri Mohamed Rashid Al-Maktoum untuk menjadi penghubung golongan belia kepada kerajaan dan membawa suara mereka ke peringkat tertinggi.

Shamma terlibat secara langsung dengan dasar yang membawa harapan generasi muda UAE. - Twitter @RHCJO

Baru-baru ini Shamma, 24 tahun, yang juga mempunyai kelulusan ijazah dalam jurusan Ekonomi dari New York University Abu Dhabi, telah melancarkan kem khas untuk golongan belia di negaranya bagi memberi latihan dan bimbingan untuk mereka meneroka peluang pada masa hadapan.

Shamma juga sering mewakili UAE dalam forum-forum antarabangsa dan menceritakan pengalamannya menjadi menteri termuda dan sebagai salah seorang dari sembilan menteri UAE dari golongan wanita.

Sebelum terpilih sebagai menteri, Shamma pernah bekerja sebagai penganalisis dan pengkaji di Kedutaan Besar UAE di Amerika Syarikat.


Hasil kebijaksanaan menghasilkan analisis mengenai misi diplomatik UAE dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapat perhatian kerajaan sehingga ditawarkan tanggungjawab untuk mewakili suara golongan muda di negara pengeluar minyak itu.

Bidang keusahawanan adalah antara fokus Shamma untuk diceburi golongan muda UAE. - Twitter @RHCJO

Dalam sebuah wawancara bersama LA Times, Shamma menyebut empat hal yang diharapkan oleh anak-anak muda UAE. Antaranya adalah pertumbuhan bidang keusahawanan, rasa patriotik dan tanggungjawab terhadap bangsa, cinta kepada budaya dan nilai bangsa, serta peluang dan kemudahan untuk menjalani hidup yang aktif dan lebih berkualiti.

Jelas Shamma, beliau mahu memastikan anak muda di UAE mencapai potensi mereka dan sering menganjurkan forum anak-anak muda supaya mereka boleh menjadi lebih aktif dalam menyumbang idea untuk pembangunan negara.

Wanita yang sering berpakaian sederhana dalam jubah dan tudung hitam ini turut sering dipuji kerana kecerdasan akal dan kecantikannya.

Beliau juga berkongsi perjalanan hidupnya yang begitu istimewa dan pandangan mengenai isu semasa di akaun Twitter miliknya.