Bayi berusia lima bulan itu terselamat selepas bangunan tiga tingkat di kem pelarian Shati itu runtuh akibat serangan tersebut.
Dua wanita serta lapan kanak-kanak dilaporkan terkorban dalam insiden berkenaan pada Hari Raya Aidilfitri pertama, manakala 15 individu lain dilaporkan cedera.
Mohammed al-Hadidi memberitahu portal berita Al Jazeera, isteri serta empat anak lelaki lain berusia antara enam dan 14 tahun terbunuh dalam kejadian tersebut.
Seorang wanita serta empat anaknya turut terkorban, katanya.
Al-Hadidi hanya mendapat khabar gembira itu selepas bayi berkenaan dikejarkan ke Hospital al-Shifa di mana dia sedang terima rawatan akibat cedera dalam serangan udara tersebut.
"Saya bersyukur anak saya Omar masih hidup," ujar Al-Hadidi.
Sekurang-kurangnya 200 warga Palestin terbunuh dalam minggu serangan udara, termasuk 59 kanak-kanak dan 35 wanita, dengan sekitar 1,300 orang cedera, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Di pihak Israel, 10 maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan seorang tentera dalam satu serangan yang dilancarkan dari kawasan awam Gaza kepada kawasan awam Israel.
BACA: Israel lancar satu lagi serangan udara di Semenanjung Gaza
Perang meletus pada 10 Mei ketika Hamas menembak roket jarak jauh ke Baitulmaqdis setelah beberapa minggu pertempuran berlaku di Gaza di antara penunjuk perasaan Palestin dan polis rejim Israel.
Sejak pertempuran bermula, tentera rejim Israel telah melancarkan ratusan serangan udara yang dikatakan menyasarkan infrastruktur Hamas.