KUALA LUMPUR: Serangan berterusan rejim Zionis ke atas hospital-hospital di Gaza tidak boleh diterima sama sekali oleh masyarakat antarabangsa, terutama dalam kalangan komuniti perubatan.

Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, tindakan Israel itu jelas merupakan pelanggaran terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Perang ke atas Gaza ketika ini merupakan penanda aras yang sangat tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa, khususnya bagi komuniti perubatan dan kesihatan.

“Ini kerana terlalu banyak hospital dan pusat kesihatan yang diserang tanpa justifikasi. Dalam undang-undang kemanusiaan antarabangsa, adalah sangat jelas bahawa, hospital, pusat perubatan dan pusat rawatan tidak sepatutnya diganggu atau diserang ketika waktu perang.

“Walaupun ada askar lawan dalam hospital terbabit, tidak boleh diserang fasiliti tersebut secara besar-besaran. Apatah lagi jika sememangnya tidak ada askar lawan di situ,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin. 


Serangan terhadap hospital tidak boleh diterima - Presiden MERCY Malaysia

Jelas Ahmad Faizal, sekitar 1.9 juta warga Palestin ketika ini berada di Rafah dan daripada jumlah itu, 300,000 orang merupakan penduduk asal bandar itu.

Selebihnya ialah mereka yang berpindah dari utara Gaza ke bahagian selatan.

“Kini, separuh daripada populasi itu menumpang di rumah-rumah yang ada di Rafah. Manakala separuh lagi, tinggal di khemah-khemah yang didirikan. Keadaan sangat daif.

“Sebelum ini, sebahagian daripada mereka sudah berpindah dari Beit Lahia dan sebagainya di utara Gaza, ke Khan Younis yang dianggap selamat.

"Kini, dari Khan Younis berpindah lagi ke Rafah. Keadaan penempatan memang sangat teruk. Jika berlaku pengeboman ke atas Rafah, lebih sejuta rakyat Palestin akan bergerak tanpa tempat berteduh,” ujarnya.

Menurut Ahmad Faizal, bantuan kemanusiaan dalam bentuk makanan sedang diusahakan untuk dibawa masuk ke Rafah, meskipun dalam jumlah yang tidak mencukupi akibat birokrasi Israel.

Namun, beliau berharap ia mampu meringankan sedikit sebanyak penderitaan serta kebuluran yang ditanggung rakyat Palestin, khususnya wanita dan kanak-kanak.



Agenda AWANI: Zionis menggila di Rafah, krisis kemanusiaan semakin parah