TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mempertahankan keputusan untuk meneruskan serangan udara di Gaza.

Menerusi mesej disiarkan di televisyen, Netanyahu menyatakan tekanan ketenteraan terhadap Hamas adalah “syarat kritikal” bagi memastikan pembebasan tebusan yang masih ditahan.

"Selama berminggu-minggu kami telah berusaha tanpa henti untuk mencapai satu matlamat iaitu memastikan setiap usaha dilakukan bagi membawa pulang tebusan kita.

"Kami telah memanjangkan gencatan senjata selama berminggu-minggu, tetapi tiada seorang pun tebusan dikembalikan.

"Saya telah berjanji berkali-kali, jika Hamas terus berdegil dan tidak membebaskan tebusan kita, kita akan kembali berperang. Dan kini, kita telah kembali berperang, kita telah kembali berperang dengan kekuatan," katanya.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, serangan udara Israel pada Selasa mengorbankan lebih 400 orang di Gaza.

Ia sekali gus menamatkan jeda selama beberapa minggu selepas rundingan untuk mencapai gencatan senjata kekal, menemui jalan buntu.

Israel dan kumpulan pejuang palestin, Hamas, saling menuding jari antara satu sama lain kerana melanggar perjanjian gencatan senjata yang secara umumnya dipatuhi sejak Januari.

Langkah itu memberikan sedikit kelegaan kepada 2.3 juta penduduk Gaza yang sebahagian besar infrastrukturnya telah musnah.

Hamas, yang masih menahan 59 daripada kira-kira 250 tebusan menuduh Israel menggagalkan usaha perantara untuk merundingkan perjanjian kekal bagi menamatkan konflik.

Namun kumpulan itu tidak mengeluarkan sebarang ancaman balas.

Netanyahu berkata, beliau mengarahkan serangan itu kerana Hamas menolak cadangan untuk melanjutkan gencatan senjata dan berikrar untuk meningkatkan tindakan ketenteraan.