LAGOS (Nigeria): Presiden Nigeria, Bola Tinubu mengisytiharkan darurat di Rivers State, wilayah kaya minyak, berikutan krisis politik berpanjangan dan kegagalan pentadbiran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam ucapan khas kepada rakyat, Tinubu mengumumkan, Gabenor Siminalayi Fubara, timbalannya, serta semua ahli Dewan Perwakilan digantung tugas bagi tempoh enam bulan.

"Laporan keselamatan terkini menunjukkan bahawa sejak semalam hingga hari ini, berlaku insiden vandalisme terhadap saluran paip minyak oleh kumpulan pengganas, namun tiada tindakan diambil oleh gabenor untuk mengekangnya.

"Saya mengarahkan pasukan keselamatan untuk memastikan keselamatan rakyat Rivers State serta infrastruktur minyak negara," katanya.

Keadaan di Rivers State dilaporkan tegang, dengan Fubara dituduh melakukan salah laku serius, termasuk membelanjakan dana awam serta menghalang Dewan Perwakilan negeri daripada menjalankan tugasnya.

Sebelum pengumuman Tinubu, dewan negeri mengumumkan penangguhan sesi tanpa tempoh tertentu, sekali gus menghalang Fubara daripada membentangkan bajet 2025.

Pengisytiharan darurat ini dibuat berdasarkan satu fasal dalam Perlembagaan yang mentafsirkan keadaan darurat sebagai situasi bahaya atau bencana nasional.

Presiden mencalonkan Laksamana Madya Ibokette Ibas yang telah bersara sebagai pentadbir untuk menjaga hal ehwal negeri dalam tempoh enam bulan itu.

-- BERNAMA