GAZA: Serangan Israel pada Sabtu membunuh sekurang-kurangnya 48 orang di Gaza.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin memaklumkan, serangan itu berlaku di kawasan tengah dan selatan wilayah Gaza menjelang permulaan kempen vaksinasi polio yang dirancang.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijangka memulakan vaksinasi terhadap kira-kira 640,000 kanak-kanak di wilayah tersebut pada Ahad.

Ia bergantung kepada jeda pertempuran selama lapan jam sehari antara tentera Israel dan pejuang Hamas di kawasan tertentu di Gaza yang dikepung.

Timbalan Menteri Kesihatan Gaza, Yousef Abu Al-Reesh berkata pasukan vaksinasi akan berusaha untuk sampai ke sebanyak mungkin kawasan bagi memastikan liputan yang luas.

Bagaimanapun beliau berkata hanya gencatan senjata yang menyeluruh boleh menjamin jumlah kanak-kanak yang cukup divaksin dapat dicapai.

Pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata sekurang-kurangnya 90 peratus daripada kanak-kanak perlu divaksinasi dua kali dengan jarak empat minggu antara dos untuk memastikan kejayaan kempen.

Bagaimanapun pertubuhan itu berdepan cabaran getir di Gaza untuk tujuan itu di mana sebahagian besar lokasinya telah musnah akibat perang selama hampir 11 bulan.