Taufan itu melanda Pulau Catanduanes pada Sabtu malam (16 Nov) sebelum bergerak ke Pulau Luzon pada petang Ahad (17 Nov), menyebabkan banjir teruk dan tanah runtuh di sepanjang laluannya.
Presiden Ferdinand Marcos Jr memberi jaminan kepada orang ramai bahawa operasi menyelamat sedang dijalankan di kawasan-kawasan terpencil dan berjanji untuk memberikan bantuan kepada penduduk yang terjejas, ramai di antaranya kekurangan peralatan untuk menyediakan makanan dan sukar mendapatkan bekalan air bersih.
Di Catanduanes, pegawai memberi amaran bahawa gangguan bekalan elektrik mungkin berlarutan selama berbulan-bulan akibat kerosakan meluas pada tiang utiliti.
Sementara itu, di Baler, sebuah bandar pesisir pantai di Wilayah Aurora, pihak berkuasa tempatan dan penduduk bekerjasama membersihkan pokok tumbang, serpihan, serta jalan dan laluan air yang tersekat.
Taufan Man-yi mula mereda dengan ketara ketika melintasi kawasan berbukit di Luzon, menurun kepada tekanan tropika sebelum melintasi Laut Timur dan bergerak ke arah Vietnam pada Isnin.
Sepanjang beberapa minggu lepas, Filipina telah dilanda lima taufan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 163 nyawa, mengakibatkan ribuan orang terpaksa berpindah dan memusnahkan tanaman serta ternakan. Beberapa wilayah telah mengisytiharkan darurat bencana akibat kerosakan yang teruk.
-- BERNAMA