PETALING JAYA: Seorang lelaki bakal dihadapkan ke mahkamah esok atas pertuduhan menyerang dan menyebabkan kecederaan terhadap dua orang lelaki di Hotel Avante, di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, pihaknya menerima dua laporan polis pada jam 11 malam sebelum menangkap suspek sejurus tiba di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku kerana isu peribadi dan suspek telah mencederakan bahagian muka (pipi) mangsa.

“Lelaki itu ditahan di tempat kejadian dan polis turut merampas sebuah kamera yang dipercayai digunakan susupek untuk memukul mangsa, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek berusia 30 tahun dan bekerja sebagai jurugambar manakala kedua-dua mangsa merupakan pereka fesyen tempatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek telah direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Dalam insiden itu, mangsa didakwa diserang seorang jurugambar ketika mengiringi seorang usahawan wanita terkemuka di kapet merah dalam satu acara di hotel berkenaan.