Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, menolak rayuan Che Sa'adon Che Yahya terhadap sabitan bagi kesalahan itu.
"Sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan," kata Hakim Ahmad Zaidi.
Berikutan penolakan rayuannya terhadap sabitan, Che Sa'adon, 61, akan kehilangan pencennya.
Hari ini, mahkamah tidak memenjarakan Che Sa'adon kerana dia telahpun menjalani hukuman penjara selama seminggu dan membayar denda RM10,000 yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2022.
Pada 21 March 2021, Mahkamah Sesyen mendapati Che Sa'adon bersalah terhadap tuduhan menggunakan resit bertarikh 17 Sept 2016 untuk menuntut pembayaran bagi pembelian ikan kerapu hibrid di pejabat PPNT pada Sept 2016.
Mahkamah Sesyen memerintahkannya membayar denda RM5,000 atau menjalani penjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.
Pada 11 Mei, 2022, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitannya atas kesalahan tersebut, namun memerintahkannya untuk menjalani hukuman penjara selama seminggu dan menaikkan denda kepada RM10,000 atau penjara sembilan bulan jika gagal bayar denda tersebut.
Di Mahkamah Tinggi, Che Sa'adon merayu terhadap sabitan manakala pendakwaan merayu agar hukuman dinaikkan.
Che Sa'adon telah membayar RM10,000 dan juga menjalani hukuman penjara selama seminggu selepas gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Hakim Ahmad Zaidi memutuskan hujahan yang dikemukakan oleh peguam Che Sa'adon yang mendakwa pertuduhan terhadap anak guamnya cacat dan tidak sah adalah tidak bermerit.
"Kami mendapati pertuduhan ini tidak sekali menimbulkan sebarang kekeliruan terhadap perayu," kata beliau.
Hakim Ahmad Zaidi juga berkata tiada sebarang kekhilafan berlaku oleh hakim Mahkamah Sesyen berkenaan isu intipati pertuduhan yang dihadapi oleh Che Sa'adon.
Che Sa'adon diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed dan Mohd Zul Azhan Abu Bakar, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Farah Yasmin Salleh dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir.
-- BERNAMA