PARIS: Sekurang-kurangnya 11 orang disahkan maut dan lebih daripada 250 cedera selepas Siklon Chido melanda Wilayah Lautan Hindi Perancis, Mayotte, menurut stesen penyiar awam Perancis, France Info, pada Ahad, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Jerman, dpa.

BFMTV, yang memetik sumber keselamatan, melaporkan angka kematian akibat ribut yang melanda pulau itu pada Sabtu mungkin setinggi 14 orang.

Pemangku Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau pada Sabtu malam berkata terdapat beberapa kematian tetapi tidak dapat mengesahkan jumlah yang tepat. Beliau menyifatkan apa yang berlaku di pulau yang terletak di antara Madagascar dan pantai utara Mozambique, sebagai malapetaka.

Semua rumah yang dalam keadaan uzur di pulau itu musnah, katanya. Pulau itu mempunyai populasi sekitar 310,000 orang.

Ambdilwahedou Soumaila, Datuk Bandar ibu negeri pulau itu, Mamoudzou, memberitahu BFMTV ramai yang cedera dan kerosakan yang berlaku adalah teruk. Jalan-jalan terhalang, beberapa kawasan terputus hubungan dan ramai penduduk tiada bekalan elektrik, katanya.

Lapangan terbang juga dilaporkan rosak.

Perkhidmatan cuaca Perancis, Météo France berkata angin sekencang lebih 220 kilometer sejam melanda pulau itu.

Pihak berkuasa telah menggesa penduduk untuk mencari perlindungan di bangunan yang kukuh dan tinggal di dalam rumah sebelum siklon melanda.


-- BERNAMA