WASHINGTON: White House pada Rabu mengesahkan bahawa Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy akan ke Amerika Syarikat (AS) buat pertama kali sejak konflik Ukraine-Rusia meletus 10 bulan lalu, untuk berunding dengan Presiden Joe Biden dan Ahli Parlimen AS.

"Presiden Biden mengundang Presiden Volodymyr Zelenskyy melawat Washington D.C. untuk mengesahkan komitmen berterusan AS terhadap Ukraine," lapor Agensi Anadolu memetik jurucakap White House Karine Jean-Pierre dalam satu kenyataan.

Kenyataan White House itu sekali gus mengesahkan beberapa laporan mengenai kemungkinan lawatan mengejut pemimpin Ukraine itu.

"Semasa lawatan itu, Presiden Biden akan mengumumkan pakej baharu bantuan keselamatan yang penting untuk membantu Ukraine mempertahankan diri daripada pencerobohan Rusia," kata Jean-Pierre.

Beliau berkata lawatan itu juga menyerlahkan komitmen teguh AS untuk menyokong Ukraine selama diperlukan termasuk menerusi penyediaan bantuan ekonomi, kemanusiaan dan ketenteraan.

Sementara itu menurut seorang pegawai yang enggan namanya disiarkan, Presiden AS juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan Zelenskyy di White House pada Rabu sebelum mengadakan sidang akhbar bersama.

Zelenskyy turut dijadual berucap pada sesi bersama Kongres sebelum berlepas pulang.

Biden akan mengumumkan pakej bantuan ketenteraan baharu berjumlah AS$2 bilion untuk Ukraine termasuk bateri peluru berpandu Patriot, menurut pegawai itu.

Ukraine juga dijangka menerima pakej dwipartisan dengan pembiayaan lebih AS$40 bilion.

Ditanya mengenai penilaian risiko lawatan itu, pegawai berkenaan berkata mereka telah berunding dengan pemimpin Ukraine dan keperluan keselamatan Zelenskyy "telah dipenuhi."

-- BERNAMA