Ini termasuk rakyat Malaysia yang kini berada di negara itu, sama ada dalam rangka lawatan ataupun mereka yang menetap di sana atas tujuan kerja mahupun pengajian.
Antara warga Malaysia yang sempat dihubungi Astro AWANI ialah Juara Miss World Malaysia 2008, Soo Wincci yang juga calon PHD dalam bidang Produksi Artistik di University of Polytechnic, Valencia.
Beliau memaklumkan warga Malaysia, terutamanya komuniti pelajar harus akur dengan arahan pihak berkuasa mengenai situasi di wilayah berkenaan.
“Kami tinggal di Valencia sahaja dan pihak polis membuat rondaan di sini, sebagai langkah berjaga-jaga.
“Mungkin akan berlakunya rusuhan di Valencia tetapi kami membuat persediaan kerana terdapat banyak rusuhan yang berlaku sejak dua tahun kebelakangan ini ketika saya berada di sini.
“Apabila saya berada di sini dua tahun yang lalu, terdapat protes di Barcelona pada setiap tahun dan tahun ini, ia sungguh serius berbanding tahun sebelum ini,” kata Wincci ketika dihubungi Astro AWANI.
“Pada mulanya, kami fikir ia tidak akan berlaku di sini. Sebenarnya, keselamatan di sini baik tetapi apabila terdapat demonstrasi, tindakan kecemasan akan diambil.
“Ia akan melangkaui senario yang buruk. Kami membuat persediaan pada kebelakangan ini.
“Dulu kami bergurau, sekarang kami sudah bersedia. Saya dan rakan-rakan selalu menasihati satu sama lain supaya menjaga kesihatan kami dan tidak membawa terlalu banyak barangan bersama kami,” tambahnya.
Tambahnya, situasi berkenaan tidak mengentarkannya untuk terus menimba ilmu di Sepanyol.
Artis yang dinobatkan dalam dua rekod Malaysia book of record iaitu sebagai Ratu Cantik Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak dan Artis Rakaman Yang Memiliki Ijazah Akademik Terbanyak menuntut di Valencia tiga tahun lalu.
Jarak perjalanan antara Barcelona dan Valencia memakan masa lebih tiga jam.