ISTANBUL: Rusia mengesahkan pada Rabu mengenai kesediaannya untuk menyelaras usaha mengenai keterjaminan makanan dan tenaga dengan China dan Indonesia.

"Pada acara di luar mesyuarat menteri-menteri ASEAN pada Rabu (12 Julai) di Jakarta, Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov bertemu Wang Yi, Ketua Pejabat Suruhanjaya CPC (Parti Komunis China) Jawatankuasa Pusat Hal Ehwal Luar Negeri, dan (Retno) Marsudi, Menteri Luar Indonesia," menurut Kementerian Luar Rusia.

Dalam pertemuan itu, para pemimpin memberi tumpuan kepada isu mengenai pengukuhan kerjasama tiga hala bagi memastikan keterjaminan makanan dan tenaga berdasarkan trend krisis semasa di pasaran dunia.

"Pihak-pihak berkenaan mengesahkan kesediaan masing-masing untuk menyelaras usaha itu, termasuk mengenai kepentingan meningkatkan kestabilan ekonomi 'Selatan Global' atas dasar penghormatan oleh semua negara terhadap prinsip kesaksamaan dan manfaat bersama dalam hubungan ekonomi dunia," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan itu.

Para pemimpin itu juga bertukar-tukar pandangan mengenai beberapa isu kepentingan bersama di peringkat antarabangsa dan serantau, sambil menekankan bahawa penyelarasan berkenaan bertujuan mengukuhkan rangka bina keselamatan dan kerjasama berpusatkan ASEAN di rantau Asia-Pasifik.

"Sergey Lavrov dan Wang Yi menyokong usaha Indonesia selaku Pengerusi ASEAN untuk meningkatkan tindakan itu pada mesyuarat menteri yang akan datang di Jakarta dalam rangka kerja Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN," menurut kenyataan itu.

Sebelum pertemuan itu, Lavrov turut mengadakan perbincangan dengan Marsudi mengenai kerjasama dua hala, pembentukan rangka bina keselamatan di rantau Asia-Pasifik selain mempromosi perkongsian antara Rusia dan ASEAN.

Lavrov berada di Indonesia bagi menyertai Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-56 dan mesyuarat-mesyuarat lain yang berkaitan.

-- BERNAMA