Rusia terus memperkukuhkan dakwaannya bahawa pesawat MH17 ditembak jatuh pesawat pejuang Ukraine.

Bukti terbaharu itu sekali gus menafikan laporan barat sebelum ini bahawa pesawat itu ditembak peluru berpandu dari darat ke udara didakwa milik kumpulan pemisah pro-Rusia.

Imej satelit yang menunjukkan peluru berpandu dari jet pejuang disasarkan ke arah pesawat penumpang ini disiarkan stesen televisyen Rusia.

Stesen televisyen Channel One Rusia mendakwa gambar itu diambil daripada satelit Amerika Syarikat atau British.

Imej yang diberikan oleh sumber misteri itu menunjukkan saat-saat MH17 sebelum ditembak pesawat pejuang MIG-29.

Laporan media turut mendakwa Rusia mempunyai bukti bahawa jenayah itu dilakukan pihak yang sengaja ingin memusnahkan pesawat itu.

Sementara itu, laman Foxtrot Alpha yang ditulis wartawan perang Tyler Rogoway mendakwa imej disiarkan adalah palsu dan boleh dipertikai.

Antaranya kedudukan logo Boeing 777 di pesawat MAS itu berada pada kedudukan yang salah.

Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kru.