KEMENTERIAN Pertahanan Rusia pada Sabtu mengesahkan telah melepaskan bedilan peluru berpandu bertubi-tubi ke arah sasaran sebuah infrastuktur ketenteraan Ukraine, namun, laporan mendakwa serangan itu telah memusnakan sebuah penempatan di bandar Kiev.

Beberapa video turut menunjukkan serangan itu telah memusnahkan penempatan berdekatan Kiev selepas dibedil serangan peluru berpandu sejak Jumaat malam. 

“Pihak Bersenjata Persekutuan Rusia melancarkan serangan bersenjata menggunakan pesawat dan kapal pejuang terhadap tentera Ukraine,” kata Jeneral Mejar Rusia, Igor Konashenkov dalam satu rakaman video.

“Saya ingin menegaskan serangan berkenaan terarah kepada infrastuktur ketenteraan Ukraine dan tidak ditujukan ke atas infrastruktur sosial atau penempatan orang awam. 


KRISIS RUSIA-UKRAINE MERUNCING, PERINCIAN ADA DI SINI 



Media antarabangsa CNN melaporkan jelas berlaku kemusnahan ke atas infrastruktur awam sejak bermulanya krisis Rusia dan Ukraine pada Khamis.

Sejak awal Sabtu, beberapa imej mula dikongsi di laman sosial dan portal media antarabangsa memaparkan kerosakan teruk di sebuah pangsapuri di Barat Kiev dirakamkan, bahagian luar premis berkenaan hancur akibat terkena serangan.

Pemindah penduduk sedang giat dijalankan, namum, jumlah korban tidak dapat dikenal pasti setakat ini.,

Pihak ketenteraan Rusia dalam satu kenyataan mendakwa, pihaknya telah dapat menakluki bandar Melitopol yang terletak di bahagian tenggara Ukraine.

Saluran berita CNN pada Khamis turut mengesahkan letupan besar di Lapangan Melitopol.