Ribut itu membawa penurunan suhu yang ketara serta salji lebat, dengan keadaan paling buruk dilaporkan pada Jumaat.
Gangguan turut dilaporkan di dua lapangan terbang utama Istanbul, iaitu Lapangan Terbang Istanbul di bahagian Eropah dan Lapangan Terbang Sabiha Gokcen di bahagian Asia.
Landasan yang dilitupi salji menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa berlegar di udara, malah terdapat pesawat yang melaporkan kecemasan bahan api.
Pihak berkuasa Lapangan Terbang Sabiha Gokcen memaklumkan 45 peratus penerbangan pada Jumaat dibatalkan, diikuti 30 peratus pada Sabtu dan 10 peratus pada Ahad. Turkish Airlines juga melaporkan pembatalan penerbangan di kedua-dua lapangan terbang itu.
Media tempatan melaporkan kemalangan kecil di jalan raya yang licin, manakala perkhidmatan feri turut mengalami pembatalan dan penangguhan perkhidmatan.
Gabenor Istanbul Davut Gul mengumumkan bahawa semua institusi pendidikan di bandar itu akan terus ditutup pada Jumaat. Kenderaan bermotosikal dan perkhidmatan penghantaran juga diharamkan daripada berada di jalan raya bermula tengah malam Jumaat sehingga diberitahu kelak.
Pelan Tindak Balas Bencana Istanbul telah diaktifkan di semua 39 daerah, dengan usaha menyahbeku jalan dan membersihkan kawasan yang dilitupi salji sedang giat dijalankan, katanya.
Pejabat Gabenor Istanbul turut memaklumkan bahawa lebih 1,000 gelandangan telah ditempatkan di pusat perlindungan.
Datuk Bandar Istanbul Ekrem Imamoglu menyeru penduduk supaya mengelak daripada memandu, menggunakan pengangkutan awam atau tidak keluar rumah kecuali jika perlu.
Pihak berkuasa meramalkan ribut salji itu akan berterusan sehingga pagi Isnin, dengan suhu turun ke bawah paras beku pada waktu malam.
-- BERNAMA
