MUKAH: Sarawak akan membelanjakan kira-kira RM6 bilion hingga 2030 untuk melaksanakan projek bekalan air ke kawasan luar bandar.

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek pembinaan grid bekalan air itu turut termasuk pembinaan loji air dan juga penggantian paip-paip lama.

"(Projek) sudah bermula ... di bawah projek rakyat ia RM4 bilion, tidak termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-13 yang kita akan tambah sebanyak RM600 juta. Bagi menggantikan paip-paip lama agar tidak pecah, kita anggarkan kosnya RM1.1 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jambatan Batang Lassa, Daro yang bernilai hampir RM600 juta hari ini.

Projek pembinaan jambatan sepanjang 2,430 meter merentasi Batang Lassa bagi menghubungkan Daro dengan Pulau Bruit itu dimulakan pada 22 Mac 2019 dan siap pada 9 Jan 2025 serta merupakan sebahagian daripada projek jalan pesisir Sarawak.

Ia bertujuan meningkatkan akses darat bagi penduduk kawasan luar bandar khususnya bagi mereka yang sebelum ini hanya bergantung pada perkhidmatan feri untuk menyeberangi Batang Lassa.

Abang Johari berkata penyediaan kemudahan infrastruktur memerlukan dana yang amat besar.

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata Jambatan Batang Lassa itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di Daro.

"Apatah lagi apabila projek pembinaan Jambatan Batang Paloh yang menghubungkan Pulau Bruit dengan Serdeng pada tahun hadapan, seluruh Lembah Rajang mempunyai akses jalan raya lantas membuka pelbagai kegiatan ekonomi di kawasan berkenaan," katanya.

Justeru, Abang Johari berkata golongan muda di Daro harus mengambil peluang menceburi ekonomi baharu dan menerapkan digitalisasi sebagai pemudah cara kepada usaha mereka.

"Jangan hanya bergantung pada pasaran di kawasan ini. Kita perlu lihat secara jauh dan gunakan kemudahan Internet untuk memasarkan hasil ekonomi ke luar negara. Barulah pendapatan kita meningkat," katanya.

-- BERNAMA