Ringkasan AI
- Seorang wanita cedera selepas dilanggar sebuah bas persiaran yang bergerak sendiri di sebuah restoran di Jalan Daeng Selili, Kuala Kangsar. Wanita berusia 51 tahun itu mengalami kecederaan bengkak di betis akibat terkena serpihan batu bangunan kedai.
- Kejadian berlaku apabila bas yang berhenti di bahu jalan bergerak sendiri tanpa pemandu, melanggar sebuah kereta dan bangunan kedai makan. Pemandu bas, pemandu kereta, dan pekerja kedai makan tidak mengalami kecederaan.
- Kes disiasat di bawah Peraturan 14 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. Polis meminta bantuan orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Kes, Sub Inspektor Mohd Fariq Sabaludun.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 10.30 pagi.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila sebuah bas yang sedang berhenti di bahu jalan berhadapan Pejabat Pos Kuala Kangsar bergerak sendiri tanpa pemandu telah melanggar sebuah kereta dan bangunan kedai makan di sebelah kanan jalan.
"Kemalangan ini mengakibatkan seorang perempuan berusia 51 tahun yang sedang minum di kedai tersebut mengalami kecederaan bengkak di betis akibat terkena serpihan batu bangunan kedai.
"Pemandu bas, pemandu kereta dan pekerja kedai makan tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Heisham berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 14 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 14 LN 166/59).
Sementara itu, beliau meminta bantuan kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
Menurutnya, maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Sub Inspektor Mohd Fariq Sabaludun dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Kangsar di talian 012-2712335 atau 05-7762222.
Terdahulu sebuah video berdurasi 25 saat tular di Facebook menunjukkan sebuah bas persiaran terbabas melanggar sebuah restoran di Kuala Kangsar menyebabkan premis tersebut turut mengalami kerosakan. -Sinar Harian
