KOTA KINABALU: Seekor kerbau yang mahu dijadikan korban terlepas daripada ikatan dan merempuh penduduk sehingga menyebabkan seorang wanita tercedera dalam kejadian di Kampung Rampayan, Manggatal dekat sini pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Seorang wanita berusia 40-an mengalami kecederaan serius pada bahagian tulang kaki kiri apabila dirempuh oleh kerbau yang terlepas dari ikatan.
  • Kejadian bermula apabila tali yang mengikat kerbau terputus, membolehkan haiwan tersebut melarikan diri. Penduduk setempat terpaksa menghubungi ambulans untuk membawa mangsa ke hospital.
  • Penduduk kampung akhirnya berjaya menangkap semula kerbau tersebut dan melaksanakan ibadah korban seperti yang dirancang sebelumnya.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa berusia 40-an mengalami kecederaan retak bahagian tulang kaki kiri dan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Timbalan Pengerusi Surau Ar-Rahman Kampung Tobur Rampayan, Ali Osman Ismail memaklumkan kerja penyembelihan ibadah korban melibatkan lima ekor kerbau di kampung tersebut.

"Ketika kejadian, penduduk kampung sedang memindahkan kerbau untuk disembelih, namun salah satu tali pada kerbau tersebut telah terputus dan menyebabkan ia terlepas.

"Kerbau tersebut berlari dan berpusing di sekitar kawasan sambil merempuh penduduk kampung yang berada di tempat kejadian.

"Seorang penduduk kampung ketika itu mahu menyelamatkan anaknya, namun dia yang dirempuh oleh haiwan tersebut sehingga cedera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, susulan kejadian itu penduduk kampung terpaksa menghubungi pihak ambulans untuk mendapatkan bantuan.

"Selepas diperiksa, mangsa mengalami keretakan pada tulang kaki kiri dan terpaksa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Tambah Ali lagi, haiwan tersebut bagaimanapun telah selamat disembelih selepas berjaya ditangkap semula oleh penduduk kampung.

Sebelum itu, tular video memaparkan kerbau tersebut terlepas ketika penduduk kampung sedang bergotong royong mengadakan ibadah korban di Kampung Rampayan, Manggatal, Kota Kinabalu.

Turut tular, seorang mangsa dibawa menaiki ambulans dipercayai cedera akibat dirempuh kerbau tersebut. - Sinar Harian