MOSCOW: Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada Khamis memuji pencapaian BRICS dalam memupuk kerjasama keselamatan dalam kalangan anggotanya, lapor Agensi Anadolu (AA).

Bercakap pada mesyuarat wakil-wakil peringkat tinggi BRICS mengenai isu-isu keselamatan di St. Petersburg, Putin menekankan penubuhan daftar elektronik khas untuk berkongsi data mengenai serangan siber dan insiden sebagai salah satu pencapaian utama kumpulan itu.

"Keputusan untuk menubuhkan Majlis BRICS bagi memerangi pembiayaan keganasan dan pengubahan wang haram kini di peringkat akhir. Pada Julai, sesi pleno kesembilan kumpulan kerja mengenai pembanterasan keganasan diadakan di Moscow, menghasilkan keputusan yang positif," kata Putin.

Dalam usaha memerangi rasuah, beliau berkata negara-negara BRICS atas inisiatif Rusia telah meluluskan pendekatan bersama untuk membanteras rasuah serta mendapatkan kembali aset dan pendapatan yang diperoleh melalui aktiviti haram.

"Kerjasama antara negara BRICS dalam memerangi jenayah berkaitan dadah juga semakin meningkat. Semasa mesyuarat kumpulan kerja antidadah pada Mei, persetujuan dicapai untuk meningkatkan usaha mencegah penggunaan teknologi maklumat dan sistem pembayaran maya dalam pengedaran dadah," katanya.

BRICS, yang diasaskan pada 2009 dengan penyertaan Brazil, Rusia, India, dan China, berkembang pada 2011 dengan kemasukan Afrika Selatan. Walaupun kumpulan itu telah diperluas dengan penyertaan enam negara baharu pada Disember 2023, keputusan kolektif diambil untuk mengekalkan nama asal BRICS.

Rusia, yang memegang jawatan presiden bergilir kumpulan itu pada 2024 akan menganjurkan Sidang Kemuncak BRICS ke-16 di Kazan dari 22 hingga 24 Okt.

-- BERNAMA