ISTANBUL: Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov pada Khamis berkata bahawa negaranya akan mempertimbangkan cadangan Barat untuk menormalisasikan hubungan jika kepentingan Moscow turut diambil kira.

"Apabila mereka 'kembali sedar' serta mencadangkan beberapa cadangan khusus yang berasaskan sikap saling menghormati kepentingan masing-masing, kami akan menilai dan membuat keputusan berdasarkan isi cadangan itu," kata Lavrov pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Menteri ke-31 OSCE di Valletta, ibu negara Malta, lapor Agensi Anadolu.

Lavrov menegaskan bahawa Moscow tidak akan kembali kepada keadaan sebelum perang Rusia-Ukraine yang bermula pada Februari 2022 seperti yang dinyatakan oleh Presiden Vladimir Putin sebelum ini, dan mereka tidak akan "menutup pintu" kepada sesiapa.

"Tetapi, kita akan lihat idea apa yang akan dibawa oleh mereka yang kini mengisytiharkan perang terhadap kami melalui Ukraine, mengenakan sejumlah besar sekatan terhadap kami dan menuduh kami dengan pelbagai dosa besar," katanya.

Lavrov turut menuduh Amerika Syarikat "menyerang" Rusia melalui Ukraine, mendakwa bahawa masalah dalam hubungan kedua-dua negara berpunca daripada Washington yang tidak menepati janji.

"Mereka berjanji untuk tidak mempromosikan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tetapi melakukan sebaliknya. Mereka menandatangani dokumen pada sidang kemuncak Pertubuhan untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) bahawa tiada organisasi di rantau ini akan menuntut penguasaan.

"NATO telah melakukan sebaliknya selama bertahun-tahun. Banyak contoh seperti itu, termasuk berkaitan Ukraine," katanya.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan sehari sebelumnya berhubung hubungan Yerevan dengan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO), Lavrov berkata tiada dokumen mengenai pengunduran negara itu dari pakatan berkenaan diterima, lapor AA.

Semasa sesi parlimen pada Rabu, Pashinyan berkata bahawa keadaan semasa hubungan Armenia dengan CSTO menjadikan penyertaan aktif Yerevan dalam pakatan itu "semakin sukar, jika tidak mustahil," dan bahawa hubungan negaranya dengan CSTO telah mencapai "titik tidak boleh kembali."

"Tiada dokumen sedemikian telah diterima," kata Lavrov sebagai respons kepada persoalan mengenai perkara berkenaan.

"Kami tidak memaksa sesiapa. Kami yakin bahawa adalah demi kepentingan keselamatan Armenia untuk memanfaatkan keanggotaan CSTO secara maksimum."

Beliau seterusnya berkata bahawa adalah menjadi hak kedaulatan Armenia untuk menarik diri dan Rusia serta ahli CSTO lain tidak akan mengambil sebarang tindakan yang dianggap sebagai "menutup pintu" kepada Yerevan.

-- BERNAMA