Protes sedunia desak keadilan untuk pelatih perubatan India
Setakat ini, polis menahan seorang suspek dan bekas pengetua Kolej Perubatan RG Kar, tempat mangsa sedang menuntut.
Astro Awani
Mon Sep 09 2024
Diaspora India di Stockholm, Sweden mengadakan protes menuntut keadilan dalam kes rogol dan bunuh seorang doktor pelatih di Kolkata, India. - Foto REUTERS
RIBUAN anggota diaspora India mengadakan protes di lebih 130 bandar di 25 negara, menuntut keadilan dalam kes rogol dan bunuh seorang doktor pelatih di sebuah hospital di bandar Kolkata bulan lalu.
Menurut penganjur, protes tersebut bermula dengan kumpulan besar dan kecil di Jepun, Australia, Taiwan, serta Singapura, sebelum merebak ke bandar-bandar besar di beberapa negara Eropah.
Protes ini turut menambah kepada gelombang demonstrasi yang sedang berlangsung di seluruh India susulan kes tersebut.
Setakat ini, polis menahan seorang suspek dan bekas pengetua Kolej Perubatan RG Kar, tempat mangsa sedang menuntut.
Mahkamah Agung India menetapkan perbicaraan seterusnya bagi kes pelatih yang terbunuh itu pada Isnin.
India memperkenalkan undang-undang tegas berkaitan rogol selepas kes rogol berkumpulan dan pembunuhan kejam seorang pelajar berusia 23 tahun di dalam bas bergerak di New Delhi pada tahun 2012.
Namun aktivis menyatakan bahawa kes Kolkata ini menunjukkan bagaimana wanita masih terus menderita akibat keganasan seksual.