RIBUAN inhaler asma ditarik balik dari pasaran di United Kingdom selepas didapati isi kandungannya tidak menepati dos yang telah ditetapkan.

Arahan penarikan itu dibuat apabila hampir 6,000 pengguna inhaler terkesan selepas menggunakan inhaler tersebut, lapor The Independent.

Menurut Agensi Pengawalseliaan Perubatan dan Kesihatan (MHRA) UK, dua lot inhaler jenis Ventolin Accuhaler tidak menepati dos yang telah ditetapkan ketika proses pembuatan dan menggesa pengguna untuk menggantikan dengan inhaler lain.

Pengurus MHRA, Bernadette Sinclair Jenkins menasihati pengguna inhaler tersebut untuk berwaspada terhadap kesan sampingan menggunakan inhaler itu.

"Sangat penting bagi pengguna inhaler untuk memastikan kesan daripada menggunakan inhaler tersebut.

"Kami mahu semua pesakit asma serta ahli keluarga mereka berasa yakin dan selamat dengan rawatan tersebut," jelas Jenkins.

Selain itu, ketua Asthma UK, Dr Andy Whittamore turut menyatakan kebimbangnya terhadap pesakit asma yang menggunakan inhaler yang salah.

"Sangat membimbangkan apabila sebahagian pesakit asma menggunakan inhaler yang salah kerana ia boleh membahayakan nyawa mereka.

"Inhaler jenis Ventolin digunakan ketika pesakit mengalami tanda-tanda asma seperti batuk, sesak nafas atau semput.

"Sekiranya pesakit asma menggunakan inhaler yang salah, ia boleh mengakibatkan serangan asma.

"Kami gesa semua pesakit asma untuk memastikan inhaler yang mereka gunakan tidak terkesan dengan menyemak nombor siri di bahagian bawah inhaler. Sekiranya salah, mereka dinasihati untuk dapatkan nasihat perubatan dan kembalikan inhaler itu kepada farmasi untuk digantikan," tegas Dr Whittamore.

Selain itu, satu lot inhaler jenis Seretide Accuhaler juga ditarik balik dari hospital, farmasi, peruncit dan pemborong di UK selepas dipercayai turut terkesan.

Bagaimanapun, MHRA turut memaklumkan inhaler selain jenis Vetolin Accuhaler dan Seretide selamat untuk digunakan terutamanya jenis Ventolin Evohaler, antara inhaler sering digunakan.

Sementara itu, GSK Pharmaceutical Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan hari ini berkata, penarikan balik ini tidak menjejaskan pasaran di Malaysia kerana lot produk yang terjejas tidak diedarkan oleh GSK Pharmaceutical Sdn Bhd (“GSK Malaysia”) di negara ini.

Berikut adalah kenyataan penuhnya:


GlaxoSmithKline (“GSK”) menarik balik empat lot Ventolin (Diskus / Accuhaler) * dan tujuh lot Seretide (Diskus / Accuhaler)* di beberapa pasaran.

Produk ini ditarik balik setelah GSK menyedari isu pengilangan yang mungkin menyebabkan sejumlah kecil produk Diskus/Accuhaler tidak dapat mengeluarkan dos yang ditetapkan.

Penarikan balik ini tidak menjejaskan pasaran di Malaysia kerana lot produk yang terjejas tidak diedarkan oleh GSK Pharmaceutical Sdn Bhd (“GSK Malaysia”).

Dalam konteks ini, GSK ingin memberi keyakinan kepada pesakit yang menggunakan produk kami agar mereka dapat terus menggunakan Seretide Accuhaler yang dipreskripsikan oleh profesional penjagaan kesihatan mereka.

*Ventolin (Diskus / Accuhaler) tidak didaftarkan dengan bahagian regulatori atau dipasarkan di Malaysia oleh GSK Malaysia.