Perbincangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Baku bermula hari ini ketika kebanyakan tempat di seluruh dunia berdepan dengan cuaca ekstrem.
Persidangan Perubahan Iklim PBB atau COP29 ini menghimpunkan para diplomat dan ketua negara dan kerajaan dari hampir 200 negara untuk merangka agenda masa hadapan.
Berikut antara fakta asas berkenaan COP29:
Apakah itu COP29?
COP29 ialah pertemuan tahunan 197 negara yang telah bersetuju dengan Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim yang ditandatangani pada 1992.
Negara-negara terlibat dengan konvensyen ini berkumpul setiap tahun untuk mengemas kini rancangan mereka dalam menangani perubahan iklim.
COP adalah singkatan bagi Conference of the Parties (Persidangan Pihak-pihak).
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, COP telah berjaya menarik perhatian puluhan ribu peserta, termasuk eksekutif perniagaan, pemimpin kumpulan bukan kerajaan dan aktivis selain daripada diplomat dan pembuat dasar.
COP29: Bila dan di mana?
Bermula 11 hingga 22 November.
Tahun ini acara rasmi akan diadakan di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan.
Azerbaijan - negara yang mempunya 10 juta penduduk terletak di antara Rusia dan Iran merupakan negara pengeluar utama minyak dan gas.
Azerbaijan menikmati kebangkitan ekonomi yang memberangsangkan sejak kebelakangan ini.
Apakah matlamat utama COP29?
Fokus utama tahun ini adalah mengenai aspek kewangan.
Untuk membangunkan sistem tenaga bersih, menjadikan bandar berdaya tahan dengan cuaca ekstrem, atau mengubah industri dan sektor pengangkutan untuk menggunakan tenaga yang mesra alam memerlukan dana triliun dolar.
Pada masa ini, kebanyakan negara membangun dan miskin di seluruh dunia tidak memiliki faedah kemudahan itu meskipun sering menerima impak bencana akibat perubahan iklim.
Di COP29, diharapkan lebih banyak peluang untuk mendapatkan sumber dana kewangan yang lebih adil boleh digunakan untuk mempromosikan tenaga bersih dan menyesuaikan diri dengan pemanasan planet.
Negara-negara terlibat juga akan berkongsi pelan tindakan iklim negara masing-masing yang menggariskan bagaimana mereka merancang untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Pada penghujung persidangan, perunding berharap dapat meratifikasi perjanjian akhir yang akan menyertakan komitmen baru untuk menangani perubahan iklim.
Siapa yang akan hadir?
Lebih daripada 100 ketua negara dan kerajaan dijangka hadir, ini termasuk pemimpin dari Barbados, Finland, Greece, Kenya, Sepanyol, Arab Saudi, Turki dan Pakistan.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif antara yang turut menghadiri COP29 ini
Yang tidak hadir - pemimpin negara-negara kuasa besar dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden selain pemimpin China, India, Brazil, Britain, Jerman dan Perancis.