Pada Rabu, Jabatan Pertahanan AS berkata, ia telah mencapai persetujuan pengakuan bersalah dengan Khalid Sheikh Mohammed dan dua lagi yang bersama-sama dituduh.
Namun, "memandangkan kepentingan mengenai keputusan itu," Austin telah memutuskan "tanggungjawab untuk keputusan sedemikian harus terletak pada saya," tulisnya dalam memorandum kepada Susan Escallier, "convening authority" suruhanjaya tentera.
"Saya dengan ini menarik balik tiga perjanjian praperbicaraan yang anda tandatangani pada 31 Julai 2024, dalam kes yang dirujuk di atas," menurut memo itu lagi.
Serangan pengganas 11 September 2001 melibatkan empat pesawat penumpang yang dirampas dan digunakan untuk menyerang Pusat Dagangan Dunia di New York City dan ibu pejabat pertahanan Pentagon di luar Washington. Hampir 3,000 orang terbunuh.
Mohammed dipercayai sebagai dalang di sebalik serangan itu, menyelaraskan komunikasi dan pembiayaan untuk operasi berkenaan.
Dia ditahan di Pakistan pada tahun 2003, dan pada tahun 2006, dipindahkan ke penjara di Guantanamo, dan dijadualkan menghadapi perbicaraan di hadapan tribunal tentera atas penglibatannya. Namun, perbicaraan terhadapnya dan beberapa rakan defendan telah ditangguhkan selama beberapa tahun.
Bekas Presiden AS George W. Bush mewujudkan penjara di pangkalan tentera laut Teluk Guantanamo di Cuba untuk menahan suspek pengganas berikutan serangan berkenaan.
Walaupun terdapat seruan dari organisasi hak asasi manusia untuk penutupannya, sejumlah kecil tahanan masih ditahan di sana. - BERNAMA