JOHOR BAHRU: Sebutan semula kes lima anggota keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lepas yang berdepan dengan sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS), ditangguh ke 24 Sept ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Rasidah Roslee menetapkan tarikh itu selepas pasukan pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan memohon lanjutan masa bagi serahan laporan pakar sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kelima-lima mereka terdiri daripada bapa penyerang berkenaan, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62; ibunya Rosna Jantan, 59, dan tiga adik-beradiknya Radin Romyullah Radin Imran, 34; Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19.

Peguam Arief Firdaus Ashikin yang mewakili kelima-lima mereka tiba di mahkamah pada pukul 8.40 pagi dengan kawalan ketat polis.

Pada 19 Jun lepas mereka didakwa di mahkamah yang sama atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalakkan dan menanam fahaman Kumpulan IS.

Dalam kejadian serangan di balai polis itu pada 17 Mei lepas dua konstabel, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban selepas diserang seorang lelaki, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 38, cedera ditembak. Suspek turut ditembak mati dalam insiden serangan itu.

-- BERNAMA