Dalam satu kenyataan, kementerian itu menyatakan serangan udara itu dilaksanakan pada 11.30 malam waktu tempatan (2030 GMT) Khamis, dengan menyasarkan kedudukan pengganas di utara Iraq.
Ia menyatakan operasi itu dilakukan berdasarkan hak untuk mempertahankan diri yang sah seperti yang dinyatakan dalam Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan matlamat untuk meneutralkan PKK/KCK dan unsur pengganas lain, menghalang serangan terhadap orang awam dan pasukan keselamatan, serta memastikan keselamatan sempadan Turkiye.
"Semasa operasi itu, 34 sasaran termasuk gua, tempat perlindungan, persembunyian, depot dan kemudahan yang digunakan oleh Pertubuhan Pengganas Pemisah (BTO) dimusnahkan. Dipercayai bahawa beberapa pengganas berpangkat tinggi juga berada di lokasi berkenaan," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu berkata operasi itu menggunakan sejumlah besar peluru yang dihasilkan secara domestik.
"Seperti biasa, Angkatan Tentera Turkiye - yang berakar umbi dalam semangat luhur negara - kekal teguh dan bertekad dalam memerangi keganasan, meneruskan operasi tanpa henti sehingga tiada pengganas yang tersisa, demi memastikan kelangsungan dan keselamatan negara serta rakyat," menurut kenyataan itu.
Operasi itu menyusuli serangan pengganas ke atas ibu pejabat Turkish Aerospace Industries (TAI) di daerah Kahramankazan, Ankara, pada Rabu.
Dua pengganas yang menyerang fasiliti itu "dineutralkan", manakala lima orang terbunuh dan 22 lagi cedera, menurut Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya.
Pihak berkuasa Turkiye menggunakan istilah "dineutralkan" untuk merujuk kepada pengganas yang menyerah diri, dibunuh atau ditahan.
Dalam kempen keganasan hampir 40 tahun terhadap Turkiye, PKK - yang disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Turkiye, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah - bertanggungjawab atas kematian lebih 40,000 orang, termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi.
-- BERNAMA