Ini merupakan kali kedua Breivik memohon mahkamah mengkaji semula kemungkinan dia dibebaskan lebih awal secara parol.
Bagaimanapun, peluangnya untuk berjaya dianggap tipis, menurut laporan agensi berita Jerman dpa.
Breivik membuat isyarat tangan sayap kanan dan mempamerkan sepanduk dengan mesej politik ketika memasuki gimnasium di Penjara Berkeselamatan Tinggi Ringerike, yang telah diubah menjadi bilik mahkamah sementara.
"Saya bukan seorang manusia. Saya tidak menjadi seorang manusia selama 13 tahun," katanya kepada wartawan sebaik tiba, lapor agensi berita NTB Norway. Lelaki berusia 45 tahun itu menggelar dirinya sebagai 'collectivist' dan 'askar politik' yang terus berkhidmat untuk 'puaknya'."
Ketika ditanya apa yang akan dilakukannya jika dibebaskan, Breivik menyatakan bahawa dia mahu meninggalkan Norway secepat mungkin, jika dibenarkan.
Pendakwa Raya, Hulda Olsen Karlsdottir, kemudian memulakan prosiding dengan kenyataannya. Breivik dijadualkan memberikan kenyataannya kepada mahkamah kemudian.
Pada Julai 2011, Breivik melakukan jenayah paling kejam dalam sejarah pasca perang Norway.
Dia memulakan serangan dengan meletupkan bom kereta di kawasan pentadbiran Kerajaan Oslo, menyebabkan lapan orang terkorban.
Dia kemudian melancarkan pembunuhan beramai-ramai di Pulau Utoya, membunuh 69 orang, kebanyakannya anak muda, di kem musim panas tahunan organisasi belia Parti Buruh Demokratik Sosial. Breivik menyatakan motif tindakannya dipengaruhi ideologi ekstremis kanan dan Islamofobia.
Pada 2012, Breivik dijatuhi hukuman maksimum ketika itu iaitu 21 tahun penahanan pencegahan dengan tempoh minimum 10 tahun. - BERNAMA-dpa