JAKARTA: Menteri Luar Indonesia, Sugiono menegaskan komitmen negara itu terhadap dasar luar tidak berpihak, dengan memberi penekanan kepada usaha mengekalkan hubungan mesra dengan semua negara sambil mengelakkan penyertaan dalam pakatan ketenteraan.

Dalam ucaptamanya pada Persidangan Dasar Luar Indonesia (CIFP), Sugiono menyifatkan strategi ini sebagai kunci dalam memupuk rasa hormat dan kerjasama bersama.

"Kami kekal tidak berpihak, yang bermakna kami tidak akan menyertai mana-mana pakatan atau blok ketenteraan.

"Kepentingan rakyat Indonesia adalah menjadi rakan kepada semua, tanpa bermusuhan dengan sesiapa," katanya.

Beliau turut menggariskan pendekatan dasar luar Indonesia yang "bebas dan aktif," dengan matlamat membina hubungan tanpa menjejaskan kedaulatan negara.

Beliau turut menekankan peranan Indonesia dalam organisasi pelbagai hala termasuk BRICS, OECD, dan ASEAN, sebagai platform utama untuk menegaskan pengaruh global negara itu dan memperjuangkan keamanan.

Menurut beliau, kekuatan diplomasi Indonesia bergantung kepada kemajuan domestik, dengan memberi tumpuan kepada pengurangan kemiskinan, kemandirian makanan dan tenaga, serta pelaburan dalam pendidikan dan pemakanan.

"Sebuah negara dihormati kerana kemakmuran dan pertahanan yang kukuh," katanya, sambil berhujah bahawa dengan memanfaatkan sumber negara untuk kesejahteraan rakyat akan meningkatkan kedudukan Indonesia di peringkat global.

Sugiono turut menyeru kerjasama antarabangsa bagi menangani cabaran bersama.

"Hanya melalui kerjasama, kita dapat mengurangkan ketegangan ini dan menyumbang kepada keamanan serta keselamatan global," katanya.

Persidangan CIFP tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-10 Foreign Policy Community of Indonesia (FPCI), yang diraikan dengan tema "A Decade of Citizen Diplomacy."

-- BERNAMA