AMSTERDAM/NUREMBERG (Jerman): Ramai orang di Eropah memasang impian untuk bersara di luar negara ke negara dengan iklim yang lebih baik dan landskap yang indah, tetapi kajian terbaharu memberi amaran yang impian itu boleh menjadi mimpi ngeri, dengan kesepian menjadi risiko utama, lapor agensi berita Jerman dpa.

Penyelidik di Universiti Groningen melakukan kaji selidik ke atas pesara yang berhijrah dan sekumpulan pesara di Belanda. Mereka mendapati bahawa penghijrah berasa lebih sunyi dalam persekitaran sosial mereka.

Memandangkan usia tua juga menyumbang kepada faktor risiko kesepian dan ini boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan, pesara imigran mempunyai berisiko berganda, kata Esma Betul Savas, ketua pengarang kaji selidik yang diterbitkan pada Sabtu dalam jurnal Psychology and Aging.

Beliau mencadangkan agar mereka yang merancang untuk berhijrah semasa persaraan harus mempertimbangkan bagaimana mereka boleh mengekalkan hubungan sosial mereka di rumah dan mendapatkan pengalaman baharu di luar negara.

Pesara Jerman amat berminat untuk menetap di luar negara, dengan organisasi insurans pencen negara itu melaporkan bahawa 237,000 pesara menerima bayaran mereka di luar negara pada akhir 2023.

Negara yang paling popular untuk persaraan ialah Austria, Switzerland, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Perancis.

Savas dan pasukannya melakukan kaji selidik terhadap hampir 5,000 pesara yang berhijrah dan hampir 1,400 pesara yang tinggal di rumah, bertanya kepada mereka, antara lain, sama ada mereka berasa sunyi dan bagaimana hubungan mereka dengan keluarga, rakan dan jiran.

Penyelidik membezakan antara kesepian emosi, yang disebabkan oleh kekurangan rakan karib atau pasangan hidup, dan kesepian sosial, yang disebabkan oleh kekurangan persekitaran sosial atau hubungan komuniti.

Hakikat bahawa pesara di luar negara merindui yang kedua adalah kerana mereka biasanya berhijrah bersama suami atau isteri ataupun bersama pasangan.

Bagaimanapun, kaji selidik itu menunjukkan yang pesara imigran berasa sunyi daripada segi sosial dan emosi apabila mereka kehilangan hubungan dengan rakan baik dan keluarga di rumah.

-- BERNAMA