BANGKOK: Polis Thailand telah menahan pemilik kelab malam di wilayah Chonburi berhubung kejadian kebakaran yang tercetus pada malam Jumaat sehingga mengorbankan 15 pengunjung dan 35 lagi cedera.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan selepas dia membuat laporan mengenai kejadian itu di balai polis Phlu Ta Luang pada malam Sabtu.

Terdahulu, Mahkamah Pattaya mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki itu.

Dia didakwa melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian dan mengendalikan kelab malam tanpa lesen.

BACA: Angka kematian kebakaran kelab malam meningkat kepada 15 orang

Kelab malam Mountain B telah didaftarkan sebagai sebuah restoran.

Peguam, Anucha Wongsrirat berkata anak guamnya "mengaku dengan semua pertuduhan".

Sementara itu, Anucha berkata anak guamnya bersetuju membayar pampasan 50,000 baht kepada 15 keluarga mangsa yang terkorban dan 10,000 baht kepada mereka yang cedera dalam kebakaran itu.

Seramai 15 pengunjung - 11 lelaki dan empat wanita maut manakala 35 lagi cedera dalam insiden kebakaran yang berlaku di sebuah kelab malam penuh sesak dengan pengunjung pada pagi Jumaat.

-- BERNAMA