BANGKOK: Angka kematian akibat kebakaran di sebuah kelab malam di Thailand meningkat kepada 19, selepas seorang wanita berusia 23 tahun meninggal dunia pada Isnin akibat melecur teruk.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah 2, Mej Jeneral Chaipotchana Suwannarak berkata, wanita itu meninggal dunia pada 2.50 pagi waktu tempatan (3.50 pagi waktu Malaysia) di Hospital Chonburi.

"Setakat ini, 27 orang masih menerima rawatan di hospital, termasuk 13 mangsa masih menggunakan bantuan ventilator di unit rawatan rapi (ICU)," kata Chaipotchana.

Kebakaran | 13 maut, puluhan cedera dalam kebakaran kelab malam


Dalam kejadian awal pagi 5 Ogos, kelab malam Mountain B di wilayah Chonburi terbakar ketika penuh sesak dengan pelanggan.

Saksi mendakwa kebakaran bermula ketika persembahan muzik sedang berlangsung, dengan pengunjung yang panik bertindak melarikan diri melalui pintu depan sejurus api mula merebak.

Polis Thailand telah menahan pemilik kelab malam berusia 27 tahun itu pada 6 Ogos.

Dia didakwa atas kesalahan cuai hingga menyebabkan kematian dan mengendalikan kelab malam tanpa lesen.

-- BERNAMA