Seorang pembuat seramik di Hebron, Loai Ghaith, mengambil keputusan menghidupkan semula perniagaan seramik milik keluarganya yang tergendala sejak perang di Gaza Oktober 2023.
Kini kehadiran Ramadan membuka idea buat loai untuk memperkenalkan produk baharu sekali gus ini sinar kebangkitan untuk perniagaannya.
"Kami telah membuat persiapan sepanjang bulan lalu untuk Ramadan. Kami menghasilkan kepingan seramik dengan hiasan yang digunakan sebagai peralatan makan semasa Ramadan. Suasana Ramadan tetap terasa, tetapi juga diselubungi kesedihan, tidak seperti kebiasaan sebelum perang.
"Dahulu, keadaan lebih baik, tetapi kini keadaan semakin suram, jalan-jalan ditutup dan pergerakan produk dari satu bandar ke bandar lain menjadi sukar. Apabila kami memindahkan produk dari satu bandar ke bandar lain, kami terpaksa melalui jalan berlumpur dan sering kali produk kami pecah dalam perjalanan," katanya.
Akui Ghaith, peperangan di Gaza sejak setahun setengah yang lalu menyebabkan jualan menurun bagi banyak bengkel seramik di rantau itu.
Perniagaan tembikar yang diusahakan keluarga Ghaith sejak 39 tahun lalu, dikenali sebagai 'Al-Okhowa' berdepan kemelut kewangan akibat situasi ekonomi dan politik di rantau tersebut.
Ghaith mendedahkan, pihaknya berjaya menembusi pasaran di negara-negara Arab seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turki, di mana mereka kini mengeksport produk mereka.
Hebron terkenal dengan reka bentuk seramik dan tembikar unik, dengan kira-kira 17 kilang beroperasi di bandar tersebut yang mana seramik buatan tangan berwarna-warni dari Hebron menarik pelancong dari seluruh dunia.
