CANBERRA: Australia membenarkan pekerja mengabaikan mesej yang dihantar oleh syarikat atau majikan pada hujung minggu atau selepas waktu bekerja.

Undang-undang baharu, yang berkuat kuasa hari ini, menetapkan bahawa kebanyakan pekerja yang enggan membaca atau membalas mesej daripada majikan di luar waktu kerja tidak boleh dikenakan hukuman.

Walau bagaimanapun, dalam hal kecemasan dan waktu bekerja yang tidak tetap, peraturan tersebut masih membenarkan majikan menghubungi pekerja mereka, dan pekerja hanya boleh menolak sekiranya mempunyai alasan yang munasabah.

Hanya Suruhanjaya Kerja Adil (FWC) yang boleh menentukan sama ada penolakan itu munasabah dengan mengambil kira peranan pekerja, keadaan peribadi, serta cara dan sebab panggilan itu dibuat.

Suruhanjaya itu mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah untuk menghentikan panggilan tersebut, dan jika gagal, mengenakan denda sehingga AUD$19,000 (RM56,000) untuk pekerja atau sehingga AUD$94,000 (RM277,000) untuk syarikat.