JAKARTA: Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) telah menyuarakan kebimbangan mengenai kadar kematian ibu bersalin di Indonesia yang mencecah 189 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 2020, lapor Xinhua.

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Singapura dengan tujuh kematian, Thailand 29 kematian dan Vietnam 46 bagi setiap 100,000 kelahiran.

"Indonesia perlu berusaha lebih baik untuk mengurangkan kadar kematian ibu bersalin. Siapa yang memainkan peranan paling penting? Kita tahu bahawa 50 peratus kelahiran di Indonesia dikendalikan oleh bidan," kata Sandeep Nanwani, pakar program kesihatan seksual dan reproduktif UNFPA Indonesia, pada Selasa.

Untuk menangani isu itu, UNFPA mengesyorkan tiga pendekatan berasaskan bukti: mengurangkan kelaziman anemia dalam kalangan wanita hamil, pengesanan awal pendarahan selepas bersalin, dan pengurusan segera pendarahan selepas bersalin.

Sandeep menekankan peranan penting yang dimainkan oleh bidan dalam melaksanakan langkah itu, menekankan kepentingan untuk terus meningkatkan kecekapan mereka bagi mencegah anemia secara berkesan dan mengesan pendarahan lebih awal.


-- BERNAMA